Memupuk hubungan baik, memperkukuh jalinan silaturahim




Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Hernie Suliana Haji Othman




GADONG, Khamis, 16 April. - Kaka Restaurant Management menganjurkan Majlis Rumah Terbuka sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1447 Hijrah / 2026 Masihi pada hari ini bertempat di kediaman pemilik restoran berkenaan di Kampung Rimba.


Majlis berkenaan dihadiri kira-kira 120 orang tetamu yang terdiri daripada ahli lembaga pengarah, pelajar serta kakitangan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan). 


Majlis yang berlangsung dalam suasana yang mesra dan penuh meriah berkenaan, sekali gus memberi peluang kepada para tetamu untuk beramah mesra, meraikan dan berkongsi kegembiraan Hari Raya Aidilfitri.


Diadakan setiap tahun, Majlis Rumah Terbuka berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kaka Restaurant Management dalam memupuk hubungan baik, memperkukuh jalinan silaturahim serta menyumbang kembali kepada masyarakat.


Ketua Pentadbiran Pusat Ehsan, Dayang Nurul Huda binti Awang Haji Muhin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kaka Restaurant Management atas kemurahan hati yang berterusan serta kerana sentiasa melibatkan para pelajar, kakitangan dan Ahli Lembaga Pengarah Pusat Ehsan dalam sambutan tahunan berkenaan.


Jelasnya, inisiatif berkenaan bukan sahaja membawa kegembiraan kepada komuniti Pusat Ehsan, malah turut memperkukuh semangat kebersamaan khususnya dalam musim perayaan ini.


Sementara itu, Kaka Restaurant Management pula berharap agar tradisi tahunan yang bermakna ini akan terus menyatukan masyarakat serta mencipta kenangan indah yang berkekalan buat mereka yang hadir.

Close